Shiang Yang Open Scout Troop

Introduction Theme/ Pendahuluan tema

”Jejak Silam, titik permulaan”
”Down Memorylane, Our Footprints”

Sejarah pengakap di MALAYSIA, pergerakan pengakap mula berkembang di Malaysia (Malaya) apabila F.C.Sands, seorang jaguh pengakap terkenal di Nottingham dan seorang pendidik menubuhkan pasukan pengakap Kanak-Kanak (cubs) di Singapura yang terdiri daripada 30 orang ahli pengakap. Cubs ditubuhkan pada tahun 1910 iaitu dua tahun setelah Lord Baden Powell mengasaskan pergerakan pengakap di England. Pada tahun 1919, Pasukan Pengakap Untuk Budak-budak Melayu telah diasaskan oleh Kapten N.M.Hashim dan Encik A.Z.Alsagoff di Singapura. Negeri Melayu yang pertama memulakan pergerakan pengakap ialah Pahang (Pekan) oleh G.M.Laidlow. Namun begitu, pergerakan ini terus terkubur setelah G.M.Laidlow meninggal dunia.

Pada tahun 1927, pergerakan pengakap dihidupkansemula oleh H.P.Hertslet, Frisby dan Wheeler dari Jabatan Pelajaran Pahang yang memajukan pergerakan ini. H.R.Cheesman (seorang ahli pendidikan yang terkenal) telah memulakan pergerakan pengakap di Pulau Pinang berpusat di Penang Free School pada tahun 1915.

Mendiang berpegang jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap Malaya selama 13 tahun. Di negeri Perak pula, pergerakan pengakap ditubuhkan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1926 oleh I.R.Wheeler. Pada tahun 1922, pergerakan pengakap bermula di Kedah. Manakala di Johor pula, pergerakan pengakap bermula pada tahun 1928 dengan kumpulan pertamanya di Maktab Sultan Abu Bakar.

Melaka dan Negeri Sembilan memulakan pergerakan pengakap pada tahun 1926 oleh Brunstone. Selangor menubuhkan pergerakan pengakap pada tahun 1926 oleh Ameen Akbar. Terengganu dan Kelantan memulakan pergerakan ini pada tahun 1927. Pengasas di Terengganu ialah A.J.Gracle, dan di Kelantan pula ialah YM Tengku Ahmad Temenggong. Perlis pula bermula pada tahun 1931. Sarawak menubuh pergerakan pengakap pada tahun 1913 dan Sabah pada tahun 1915. Jumlah ahli pengakap seluruh Malaysia melebihi 85,000 orang pada ketika itu.

Cawangan Persekutuan Budak-budak Pengakap Great Britain ini di kenali sebagai Persekutuan Budak-budak Pengakap di kawasan Malaya termasuk Singapura dengan setiap negeri sebagai satu daerah pengakap. Sabah dan Sarawak menjadi ahli cawangan Great Britain.

Selepas Perang Dunia Ke-2, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah menjadi dua cawangan yang berasingan daripada Great Britain. Setiap satunya mempunyai Persekutuan Pengakap Negeri dengan dibahagikan kepada beberapa Daerah Pengakap yang mempunyai persekutuan-persekutuan tempatan masing-masing. Persekutuan tempatan ini dikenali sebagai Persekutuan Budak-Budak Pengakap Persekutuan Tanah Melayu. Ianya badan bebas yang menjadi ahli Persidangan Pengakap Sedunia pada 1hb September 1957.

Dengan wujudnya Malaysia pada tahun 1963, namanya telah bertukar menjadi Persekutuan Pengakap Malaysia dan ahlinya menjadi ramai kerana Sabah, Sarawak dan Singapura menjadi anggotanya. Apabila Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, Persekutuan Pengakap Singapura tidak lagi menjadi cawangan Persekutuan Pengakap Malaysia.

Pada 10hb September 2000, Kumpulan Pengakap Terbuka Shiang Yang Ipoh ditubuhkan di kawasan Bercham oleh pimpinan En. Yau Sy Yong sebagai pemimpin kumpulan dengan nasihat En. Voon Yeow Hong dan Tuan Haji Shaharuddin Bin Isa, Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak. Pada peringkat awal, seramai 20 ahli berpusat di “Bercham Meow Yuen Zen Buddhist Monastery”. Kini telah bertambah ahlinya sehingga 70 ahli pengakap bergiat aktif di kawasan Bercham dan ADUN Bercham YB Gooi Seng Teik AMP., PPT., PMP. menjadi penaung kumpulan pengakap ini. Sepanjang jejak Kumpulan Pengakap Terbuka Shiang Yang sejak penubuhannya, 15 pengakap diraja telah dihasilkan dan kegigihan ahli pengakap telah mendapat johan kebanyakan pertandingan pengakap anjuran kumpulan pengakap lain. Pada bulan Jun 2007, Kumpulan Pengakap Terbuka Shiang Yang berjaya mencatat sejarah dengan binaan menara projek perintis pengakap setinggi 71kaki yang terdiri daripada kayu bakau, buluh dan tali jut sahaja. Ini merupakan satu rekod baru dalam sejarah kepengakapan di Malaysia. Pada 2008, satu rekod lagi telah dirancang untuk membina menara projek perintis pengakap setinggi 120 kaki demi mencabar “Malaysia Books’ of Record”. Semoga kegigihan dan hasrat Kumpulan Pengakap Terbuka Shiang Yang menjadi kumpulan pengakap yang cemerlang dapat dibuktikan melalui hasil kerja-kerja mereka.

Inilah hasrat dan jejak kita.




<< BACK